04 January 2010

Selamat datang Ke sekolah.

Sekolah Cina majoriti Melayu

Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

KUALA NERANG: Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kou Hua, di sini, semalam, mencuri tumpuan apabila 14 daripada 19 murid Tahun Satu sekolah berkenaan yang memulakan sesi persekolahan di negeri ini, semalam terdiri daripada murid keturunan Melayu.

Sekolah terbabit yang juga satu-satunya sekolah aliran Cina di bandar ini dengan hanya tiga murid Cina yang mendaftar di sekolah berkenaan, manakala dua lagi murid keturunan Siam.

Keadaan itu menyebabkan sekolah berkenaan yang mempunyai seorang guru besar dan 12 guru kelihatan seperti Sekolah Kebangsaan yang majoriti muridnya Melayu.

Guru Besarnya, Kook Hooi Chin, berkata kekurangan murid Cina di sekolah itu adalah perkara biasa berikutan ia dikelilingi kawasan penempatan Melayu.

“Situasi ini sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu. Mungkin kerana kaum Cina tidak ramai di bandar ini dan kebanyakannya terdiri di kalangan peniaga,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Beliau berkata, tahun lalu sekolah itu mencatat 54 murid Melayu dan hanya 29 murid Cina daripada 105 jumlah keseluruhan murid.

“Tahun ini, kita mempunyai 96 murid dari Tahun Satu hingga Tahun Enam dan lebih 50 peratus adalah murid Melayu,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Muhammad Suhaimi Shamsudin, 43, berkata dia menghantar dua anaknya ke sekolah berkenaan kerana mahu mereka menguasai bahasa Mandarin selain bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Ia juga bertujuan supaya mereka mudah untuk bersaing,” katanya.

Seorang daripada anaknya, Syamimi, 8, sudah bersekolah di situ sejak tahun lalu, manakala seorang lagi anaknya, Muhammad Syakir, 7, baru memulakan persekolahan semalam.

“Saya lihat mereka dapat menyesuaikan diri dengan cepat di sekolah itu. Bagaimanapun, saya menghantar mereka ke kelas tuisyen supaya pemahaman mereka dalam bahasa Mandarin dapat dipertingkatkan,” katanya.

Muhammad Syakir ketika ditemui, berkata, dia gembira dan teruja memulakan hari pertama persekolahan tanpa rasa kekok untuk berinteraksi dengan murid dan guru berketurunan Cina.

“Sejak pagi tadi, saya suka dengar beberapa kawan Melayu cakap Mandarin dan saya akan cuba cakap seperti mereka dengan bimbingan guru di sekolah ini,” katanya.

No comments:

Related Posts with Thumbnails