28 November 2009

Pondan Malaysia Kahwin Di England.

Pondan Malaysia disunting warga Britain


MOHAMMED FAZDIL MIN BAHARI (kiri) bersama Ian Young pada satu majlis sivil di London pada Mei lalu.

LONDON - Seorang lelaki Britain, Ian Young menyunting seorang mak nyah warga Malaysia yang dikenali sebagai Fatine untuk menjadi 'isterinya', lapor sebuah akhbar semalam. Ian, 30, yang memiliki sebuah syarikat penyelenggaraan hartanah berkahwin dengan Fatine, 36, dalam satu majlis sivil di sini Mei lepas. Dia berkenalan dengan Fatine di sebuah kafe Starbucks di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Ogos 2006 ketika dia bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysia. Terpegun dengan kejelitaan mak nyah tersebut, Ian yang pada mulanya menyangka Fatine seorang wanita, cuba memikatnya.

Lelaki itu berkata, keserasian antara mereka menimbulkan bibit cinta dan dia berasa bertuah dapat bertemu dengan kekasih yang mengambil berat dan pandai menjaga hatinya. "Saya tidak peduli sama ada dia seorang mak nyah. Saya mencintai keperibadiannya. Bagi saya Fatine seorang wanita yang cantik dan menawan," kata Ian yang sebelum ini mempunyai seorang teman wanita berbangsa Inggeris. Fatine atau nama sebenarnya Mohammed Fazdil Min Bahari mengambil hormon wanita sejak berusia 17 tahun. Jurusolek itu tidak mahu melakukan pembedahan penukaran jantina kerana takut pada risiko di samping gembira dengan keadaan dirinya yang sedia ada.

Pada Disember 2008, Ian membawa Fatine ke Britain dengan menggunakan visa pelawat tetapi 'isterinya' itu kini bakal dihantar pulang Malaysia kerana tinggal di negara itu melebihi tempoh enam bulan. - Agensi

Pengajaran : Kaum Lut ditelan bumi kerana homoseks...masyaalah.

23 November 2009

Kes Burung Murai

Diseksa kerana burung murai

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: “Tolonglah, jangan pukul saya lagi...sakit!,” rintih seorang remaja ketika ‘dilanyak’ tiga lelaki selepas dituduh mencuri dua burung Murai Cherang berharga RM1,000 dalam kejadian di sebuah kandang lembu di Kampung Endang, Jalan Dangar, dekat sini, Khamis lalu.

Remaja terbabit, Muhammad Naqiuddin Nazeri, 13, dari Kampung Pauh, dekat sini, mendakwa dibelasah bergilir-gilir oleh tiga lelaki berusia 18 hingga 30 tahun sehingga lebam di mata kanan serta sakit di bahagian belakang termasuk kepala. Lebih menyakitkan, kedua-dua tangannya turut dirotan berulang kali oleh seorang daripada lelaki terbabit menyebabkan Naqiuddin sukar menggerakkan semua jarinya. Difahamkan, walaupun Naqiuddin bersumpah dengan nama Allah tidak mencuri, dia yang bertubuh kecil itu terus dipukul oleh lelaki terbabit sehingga terpaksa merayu kerana terlalu sakit.

Sebelum kejadian, Naqiuddin keluar dari rumah, kira-kira jam 10 pagi, untuk bertemu seorang rakannya yang bekerja di kandang lembu berkenaan. Pelajar Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Satu (1) itu pergi menaiki basikal ke kandang lembu berkenan yang terletak 500 meter dari rumahnya.Sebaik tiba, Naqiuddin dicekup pemilik kandang lembu terbabit sebelum dituduh mencuri burung berkenaan yang hilang dipercayai dicuri pada waktu Maghrib, Isnin lalu.Terkejut dengan tuduhan itu, Naqiuddin mendakwa dia tidak pergi ke kandang berkenaan pada hari terbabit kerana hujan lebat.Tidak puas hati dengan jawapan diberikan, Naqiuddin dipukul sebelum dia dibawa ‘pulang’ ke rumah pemilik lembu di Kampung Pauh oleh lelaki terbabit bersama seorang lagi kawannya, kira-kira jam 2 petang.

Dia kemudian dibawa ke sebuah kedai burung di Wakaf Bharu, Tumpat, dengan alasan, mungkin Naqiuddin sudah menjual kedua-dua unggas terbabit. Sepanjang perjalanan kira-kira 30 kilometer itu, Naqiuddin yang duduk di sebelah pemandu terus dipukul, dirotan dan ‘dikerjakan’ rakan pemilik lembu terbabit menyebabkan dia terpaksa mengelak ‘serangan’ menggunakan tangannya. Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit malu apabila pemilik kedai memaklumkan dia tidak pernah melihat atau membeli burung itu daripada Naqiuddin menyebabkan mereka semakin bengang. Naqiuddin dibawa ke sebuah lagi kedai burung di Lemal, dekat sini, sebelum dipukul berulang kali dalam kenderaan. Namun jawapan sama diterima mereka menyebabkan dia dibawa pulang ke kandang lembu sebagai ‘tahanan’.

Akibat tidak ditahan dipukul dan diterajang, Naqiuddin cuba melarikan diri namun gagal apabila dia ditangkap semula menyebabkan kedua tangan serta kakinya diikat dengan tali lembu pada kerusi plastik. Kali ini, bukan dua orang saja yang membelasahnya, malah mereka turut dibantu seorang lagi lelaki menyebabkan penderitaan Naqiuddin semakin perit. Bagaimanapun, adegan itu berakhir kira-kira jam 6 petang iaitu kira-kira lapan jam menjadi ‘tahanan’ apabila ibu Naqiuddin, Zarina Hussin, 39, tergerak hati hendak pergi ke kandang terbabit bersama tiga lagi anaknya selepas mendapati anak lelaki tunggalnya belum pulang ke rumah. Menurut Zarina, sebaik tiba, anak keduanya, Nazratul Faten, 16, terus menjerit dan meraung kepada ketiga-tiga lelaki terbabit supaya berhenti daripada terus memukul adiknya. “Sambil berlinangan air mata, saya menerpa dan mendakap Naqiuddin yang sudah terkulai di kerusi. “Pada masa sama, saya memarahi mereka kerana menuduh Naqiuddin pencuri, padahal ketika kejadian (kecurian) berlaku, dia berada bersama saya di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Ayah Naqiuddin, Nazeri Che Ya, 44, pula tidak mampu berbuat apa-apa ketika kejadian berlaku kerana berada di rumah akibat menghidap penyakit kencing manis. Keluarga Naqiuddin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, kelmarin sebelum membawanya ke Hospital Pasir Mas untuk pemeriksaan kesihatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Pengajaran : Tindakan sendiri umpama undang-undang rimba...jangan jadi orang lain makan nangka kita kena getah.

20 November 2009

Jambatan Gantung Runtuh.

Keluarga mangsa jambatan runtuh kemukakan saman RM105 juta


AHLI keluarga tiga pelajar yang mati lemas di Kuala Dipang, Kampar dan peguam bergambar di depan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.



KERATAN Kosmo! 28 Oktober 2009.


IPOH - Tiga bapa kepada tiga pelajar yang meninggal dunia dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di Kampar pada 26 Oktober lalu semalam memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan.

Dalam saman itu, K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan menamakan sebagai defendan guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia Kuala Dipang.

Pihak lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Dalam kejadian itu, tiga kanak-kanak yang terkorban ialah Devatharshi anak Mageswaran, Dina Deve anak Nathan dan DiVyashree anak kepada Vasudeva.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A. Sivanesan & Co di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

Pengajaran : Malang tidak berbau tetapi buat baik berpada-pada. Niat baik dibalas baik.

18 November 2009

Misteri batu bergerak di gurun Amerika Syarikat


GAMBAR menunjukkan sebongkah batu yang meninggalkan jejak laluannya di Taman Negara Death Valley, Amerika Syarikat.

LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley, lapor sebuah akhbar semalam. Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu panas setinggi 50 darjah Celsius. Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan jejak laluan. Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.

Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan sebagai kejadian amat pelik.Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.

"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.

"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya." - Agensi

Pengajaran : Allah maha kaya dan sukar ditaksirkan.

17 November 2009

Panik singa buka pintu kereta


SINGA membuka pintu kereta dengan mulut.


JOHANNESBURG - Sepasangan pelancong terkejut apabila mendapati seekor singa membuka pintu kereta dengan mulutnya dan nyaris membaham mereka, lapor sebuah akhbar semalam.Drama itu berlaku di Taman Safari Singa di sini baru-baru ini dan ia dirakamkan oleh seorang jurutera Britain, Richard Holden, 32, yang bercuti bersama isteri dan seorang anak mereka dengan menggunakan sebuah kamera.

Holden sempat merakamkan gambar tersebut kerana dia memandu kereta di belakang kenderaan pasangan berkenaan.Menurutnya, pintu belakang kereta yang dinaiki pelancong berkenaan tidak berkunci menyebabkan haiwan tersebut berjaya membukanya.

- Agensi

Pengajaran: Kita hendaklah sentiasa berhati-hati kerana malang tidak berbau.

08 November 2009

Pemain Kelantan Punca Rusuhan

Keganasan penyokong The Red Warriors


Bagaikan di medan perang apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi asap gara-gara tindakan penyokong Kelantan yang membakar kerusi serta kain rentang semasa perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi.

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tercemar dengan insiden yang sangat memalukan.Penyokong Kelantan bagaikan hilang pertimbangan sehingga sanggup membakar harta awam seperti kerusi di tempat duduk stadium ketika perlawanan itu berlangsung.Tidak salah menyokong tetapi emosi perlu dikawal dan mereka sepatutnya mendisiplinkan diri selama 90 minit sambil menikmati perlawanan dengan penuh semangat.




Mercun pula satu hal. Entah di mana silapnya meskipun sudah banyak kali dinyatakan bahawa mercun adalah barang larangan, namun ia tetap berjaya dibawa masuk oleh para penyokong Kelantan ke dalam stadium.Final Piala Malaysia edisi ke-83 itu bertukar menjadi pesta mercun apabila pelbagai jenis mercun dibakar dan dilemparkan ke arah pemain.Balingan mercun tersebut serta letupan dan asapnya hanya kelihatan di kawasan penyokong-penyokong Kelantan.Tidak puas dengan membakar mercun, penyokong Kelantan yang kecewa mula mencabut beberapa kain rentang gergasi mereka dan bertindak membakarnya sebelum sempat dikawal oleh ahli bomba yang bertugas.Serentak dengan itu, dentuman mercun tidak henti-henti dan asap berkepul-kepul memasuki padang, terutama selepas Kelantan ketinggalan 3-0, sehingga mengganggu tumpuan pemain dan penonton terhadap perlawanan.

Kecewa dengan kekalahan pasukan mereka, penyokong Kelantan bertindak lebih dahsyat selepas itu apabila membakar kerusi stadium. Seorang jurukamera RTM cedera dibaling batu.




Sementara itu, seorang penyokong Kelantan ditahan polis malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30- an itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam berhampiran stesen LRT Bukit Jalil oleh sepasukan polis kerana dipercayai cuba mencetuskan pergaduhan di dalam stadium.Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, sejam kemudian lelaki terbabit dibebaskan selepas memberi keterangan kepada polis.Pada masa yang sama, sekumpulan penyokong Kelantan mencetuskan kekacauan apabila cuba menghalang penyokong pasukan Negeri Sembilan lawan daripada beredar pulang meninggalkan stadium.Namun sebaik sahaja anggota polis tiba, mereka berlari lintang-pukang meninggalkan kawasan itu.Pengajaran : Sukan boleh membawa bencana akibat dari pemain yang bermain sambil lewa dan hilang tumpuan. Gol-gol yang mudah amat mengecewakan penonton.

01 November 2009

Malang Tak Berbau

Pegawai imigresen terbunuh ambulans terbabas


KEADAAN ambulans yang terbabas lalu terbalik dan mengorbankan Mohamed Fitri Jamaludin yang berada di dalamnya ketika menemani rakannya ke hospital Jasin, Melaka, semalam.


MELAKA 31 Okt. – Kenderaan yang dinaiki rakannya terbabit dalam kemalangan. Niatnya untuk menolong rakan yang cedera itu dengan membawanya ke hospital menaiki ambulans.

Namun, nasib malang menimpa seorang pegawai imigresen, Mohamed Fitri Jamaludin apabila ambulans yang dinaikinya terbabas lalu terbalik dan meragut nyawanya.

Kejadian berlaku di Kilometer 25.6, Jalan Jasin-Bemban di sini kira-kira pukul 10.45 malam tadi.

Mohamed Fitri, 25, dari Taman Maju Jasin di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas tercampak keluar dari ambulans tersebut.

Bagaimanapun, dua rakannya yang cedera dalam kemalangan sebelum itu serta pemandu ambulans terbabit terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Jasin, Cif Inspektor Mohd. Zaki Aftar berkata, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya menaiki kereta berasingan menghala ke arah Jasin.

Bagaimanapun, menurutnya, kereta yang dipandu rakan mangsa, Mohd. Firdaus, 22, dan penumpang, Raja Mohamed Azuhan terbabas di Kilometer 15, Jalan Jasin-Bemban.

“Melihatkan kereta rakannya kemalangan, Mohamed Fitri memberhentikan kenderaannya dan mendapati dua rakannya itu mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudian menaiki ambulans bagi menemani rakannya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Jasin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaki, apabila ambulans terbabit tiba di Kilometer 25.6, salah satu daripada tayar kenderaan itu pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Mohamed Fitri tercampak keluar dari ambulans dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Pengajaran : Ajal dan maut di tangan Tuhan..Alfatihah.

Related Posts with Thumbnails