10 January 2010

Tuntut Ilmu Hingga Ke akhir Hayat

Ibu cecah 50 sambung belajar ilmu

BANGI: “Walaupun usia sudah mencecah 50 tahun, saya percaya itu bukanlah penghalang untuk saya menuntut ilmu dalam bidang muzik. Ia adalah impian saya selama ini,” kata ibu kepada tiga anak, Rogayah Aziz, 50, dari Johor Bahru.
Rogayah ditemui ketika Majlis Pendaftaran Program Sijil Muzik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang berlangsung di Panggung Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak di sini, semalam. Menurutnya, minat melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan bermula selepas mengikuti ketiga-tiga anaknya menyertai kelas muzik bersama Yamaha Music.
Selain berkongsi minat sama dengan anaknya, dia mahu meneruskan minat dalam bidang berkenaan sebagai pemain muzik sambilan dan guru muzik selepas habis belajar nanti .“Suami (Mohd Najib Abd Aziz) banyak memberi galakan dan dorongan kepada saya. Saya meminati muzik sejak remaja lagi dan peluang mengikuti kursus muzik di universiti ini (UKM) bagai mimpi menjadi kenyataan.
“Saya tidak kisah sekalipun terpaksa berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kelas. Saya ingin tunjukkan kepada anak dan keluarga, jika ada kemahuan (belajar) di situ ada jalan,” katanya yang mengambil kursus violin dalam program berkenaan. Selain Rogayah, 57 penuntut mendaftarkan diri dalam program berkenaan semalam.
Program yang julung kali diadakan itu dikendalikan Pusat Kembangan Pendidikan bersama Pusat Kebudayaan UKM.Ia membabitkan kursus pembelajaran alat muzik dari komponen orkestra atau ‘brass band’, antaranya violin, trompet, alto, cello, trombome dan flute.Guru tuisyen muzik, Sharah Abd Majid, 26, dari Muar Johor, berkata dia mengikuti program berkenaan bukan saja untuk meneruskan minat dalam bidang muzik, sebaliknya ingin menambah ilmu, khususnya aspek permainan alat muzik membabitkan orkestra.
Dia yang juga lulusan Diploma Mekanikal Elektronik Industri, Kolej Yayasan Melaka (KYM), yakin bidang berkenaan mampu memberi masa depan baik untuknya walaupun ada tanggapan mengatakan sukar memberi jaminan daripada segi kerjaya. “Saya tahu cabaran yang bakal saya lalui apabila terjun dalam bidang ini. Saya mengikuti kursus ini bukan sekadar untuk suka-suka saja, sebaliknya meneruskan minat mendalam saya dalam bidang ini.“Saya tidak mengimpikan untuk menjadi pemuzik hebat dan profesional. Bagai saya sudah memadai sekiranya dapat menimba lebih ilmu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang ini supaya bakat yang ada tidaklah sia-sia,” katanya yang mengikuti kursus violin.

Pengajaran : Pelajaran amat penting tak kira berapa usia anda..usaha tangga kejayaan.

No comments:

Related Posts with Thumbnails