29 July 2010

Ujian Ke 3


Peperiksaan kali ke 3 telah selesai pagi ini setelah bermula sejak hari Selasa lagi. Saya berasa lega dan lapang selepas semuanya selesai dan berdoa agar saya mencapai satu keputusan yang baik dan memberansangkan. Peperiksaan bermula 27 - 29 Julai 2010. Kepada semua kawan-kawan selamat belajar dan menempuh ujian untuk menilai prestasi diri sendiri.

16 July 2010

IT di Banggi

Celik IT biarpun masih pakai ‘santut’

2010/07/16

PULAU BANGGI (Kudat): “Biarpun masih pakai ‘santut’ (cawat), ia bukan bermakna saya antipembangunan dan tidak mahu anak pandai guna Internet,” kata petani Orang Asli berketurunan Dusun Bonggi, Taraib Saib.Taraib yang turut mempertahankan budaya menggunakan sumpit untuk memburu haiwan seorang daripada lebih 10,000 penduduk pulau ini yang menerima manfaat program Komputer 1Malaysia dan Pelan Transformasi Perkhidmatan Pos Malaysia. Program itu dilancarkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim di Dewan Terbuka Kampung Karakit di sini, semalam.Taraib berkata, beliau mahu generasi muda Dusun Bonggi menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) supaya tidak ketinggalan zaman.“Saya bangga kerana berpeluang menggunakan Internet dan selepas ini mahu lebih ramai anak etnik Dusun Bonggi yang kini hampir pupus menguasai teknologi moden dan canggih ini.
“Penggunaan Internet membolehkan kami berhubung dunia luar dan tidak terpencil di dunia tanpa sempadan,” katanya.Taraib berkata, beliau mendapat maklumat mengenai keistimewaan Internet daripada generasi muda di kampungnya yang menguasai teknologi itu. Terdahulu Rais dalam sidang media selepas pelancaran program itu berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM12.6 juta kepada Pos Malaysia Berhad untuk melaksanakan Pelan Transformasi Perkhidmatan Pos bagi Sabah dan Sarawak untuk mempertingkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan pos terutama di pedalaman kedua-dua negeri itu. Katanya, Pos Malaysia akan membekalkan 10 Pejabat Pos bergerak yang akan memberikan perkhidmatan di kawasan pedalaman Sabah.
Beliau berkata, Pejabat Pos bergerak itu dilengkapi satelit terminal kecil (VSAT) bagi memastikan pelanggan yang tinggal di pedalaman dapat menikmati pelbagai perkhidmatan kaunter yang biasanya ditawarkan di cawangan pejabat pos meliputi pembayaran bil pelbagai agensi kerajaan dan korporat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) serta 150 transaksi ditawarkan Pos Malaysia.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Matius Sator; Pengerusi SKMM, Tan Sri Khalid Ramli; Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Abdul Mijul Unaini.Rais berkata, pelantikan Posmen Komuniti yang dimulakan di pulau itu usaha kementerian memperluaskan kadar penembusan perkhidmatan di pedalaman khususnya kawasan mempunyai bentuk muka bumi dan geografi yang mencabar untuk menghubungkan masyarakat dengan posmen.
Related Posts with Thumbnails