20 September 2009

Jerat Tak Pernah Lupakan Pelanduk.

Hikmah Syawal

Oleh FUAD HADINATA YAACOB, MOHD AZAM SHAH YAACOB dan AZLAN HAFEEDZ
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang dipindahkan ke bilik VIP lengkap dengan televisyen dan peti sejuk, manakala seorang lagi dilantik sebagai pengarah dan pelakon teater di dalam penjara.Itulah perkembangan terbaru dua gadis Malaysia, Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 24, dan Umi Azlim Mohamad Lazim, 24, yang kini meringkuk dalam penjara di Jepun dan China kerana dituduh cuba menyeludup dadah.Ibu Raja Munirah, Karimah Mamat, 48, berkata sepanjang Ramadan lalu dia menerima tiga pucuk surat daripada anak sulungnya yang dipanggil Along dan surat terbaru bertarikh 12 September lalu.“Dalam surat itu Along menyatakan dia sihat dan kini ditempatkan dalam sel atau bilik VIP dilengkapi televisyen, peti sejuk dan radio.

“Itulah bezanya Ramadan dan Syawal Along tahun ini selepas dia menderita ketika berpuasa dan menyambut Aidilfitri dua tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini. Menurutnya, ketika Ramadan 2007, Raja Munirah baru ditahan dan dia langsung tidak dibenarkan berpuasa. Ramadan tahun lalu pula, dia dikurung dalam bilik gelap bawah tanah kerana didakwa mahu bunuh diri.
Karimah berkata, keadaan itu memaksa dia menulis surat tiga kali kepada pihak pengurusan penjara dan melampirkan surat pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai kewajipan umat Islam berpuasa. Menurutnya, selepas itu baru pihak pengurusan Pusat Tahanan Kosuge, Tokyo, Jepun membenarkan Raja Munirah berpuasa.

“Alhamdulillah, tahun ini dia berpuasa seperti biasa dengan menu bersahur dan berbuka adalah roti, biskut dan buah-buahan. Along hanya mandi dua kali seminggu, sekali gus berwuduk dan sembahyang sebelum tidur,” katanya. Menurutnya, Raja Munirah juga memaklumkan dia kini fasih berbahasa Jepun dan baru-baru ini menduduki ujian bahasa itu. Dalam bilik, dia tidak dibenarkan tidur kecuali malam dan masa terluang digunakan untuk membaca dan melukis.
Raja Munirah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo pada 20 Disember 2007 atas dakwaan menyeludup dadah jenis syabu dan dihukum penjara tujuh tahun setengah selepas didapati bersalah. Karimah berkata, selagi anak kesayangannya tidak pulang ke pangkuan keluarga, selagi itulah pilu menyelubungi mereka setiap kali menyambut Aidilfitri.

“Sejak tiga tahun lalu hari raya sama seperti hari lain. Pada saya kepulangan Along adalah hari raya bagi kami,” kata ibu kepada lima cahaya mata itu. Karimah berkata, dalam suratnya Raja Munirah turut berpesan jangan biarkan adik bongsunya, Raja Daniel melupakannya kerana ketika dia mula ditahan, Daniel baru berusia satu setengah tahun. “Untuk tidak melupakannya, kami tampal gambar Along di merata tempat seperti pintu, peti ais dan televisyen. Daniel yang kini hampir lima tahun masih ingat dengan kakaknya. “Setiap kali nampak kapal terbang dia bertanya kenapa Along tidak berhenti, malah ada satu ketika dia ambil batang pengelap lantai dan ikat dengan kain sambil menjerit memberitahu dia ada di bawah dan berharap Along nampak,” katanya. Meskipun sedih, Karimah turut bersyukur dan percaya apa yang menimpa anaknya ada rahmat di sebaliknya.
“Jika Along tidak ditahan, dia mungkin menjadi mangsa sindiket di sana. Dia memang tidak tahu apa-apa apabila diminta menggunakan beg yang dipinjamkan seorang lelaki Iran bernama Milad yang juga rakan kolej. “Saya juga bersyukur kerana sepanjang ditahan, Along dua kali khatam al-Quran, boleh bercakap bahasa Jepun, berdikari dan pandai menjahit baju kimono dengan upah RM2.50 sehari,” katanya.

Sementara itu Umi Azlim yang kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Guangzhou, China juga menitipkan sedikit berita gembira buat keluarganya di Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan. Bapanya, Mohamad Lazim Jusoh, 52, berkata kali terakhir dia menerima surat daripada anaknya, Umi Azlim yang juga dipanggil Along ialah beberapa hari sebelum Ramadan lalu. Menurutnya, pihak pengurusan penjara yang menahan Umi Azlim mengawal ketat dan sukar memberi kebenaran kepada penghuninya menulis surat, apatah lagi menelefon keluarga.

“Sebab itu dalam setahun, kami cuma menerima tiga atau empat surat daripada Along. Dalam surat terbarunya Along memaklumkan dia kini dilantik sebagai pengarah dan pelakon dalam sebuah teater di penjara terbabit. “Along juga memberitahu dia kini boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin yang dipelajari daripada seorang guru bahasa di dalam penjara,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Sesuatu yang menarik mengenai Raja Munirah dan Umi Azlim, kedua-duanya secara kebetulan memiliki banyak persamaan iaitu berusia 24 tahun, anak sulung dalam keluarga dan dipanggil Along serta bekas penuntut pusat pengajian tinggi.

Raja Munirah sebelum ini menuntut di Universiti Limkokwing, Cyberjaya manakala Umi Azlim pula bekas penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Umi Azlim didakwa menyeludup dadah jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu pada 19 Januari 2007, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Undang-undang Jenayah Guangzhou pada Mei 2007 tetapi ditukar kepada penjara seumur hidup selepas rayuannya diterima. Bagaimanapun Mohamad Lazim berkata, dia sebak dan hiba apabila dalam suratnya, Umi Azlim minta dikirimkan wang untuk membeli vitamin C dan makanan tambahan lain berikutan selera makannya semakin berkurangan. Menurutnya, sepanjang berpuasa Umi Azlim hanya berbuka dan bersahur dengan nasi berlaukkan ikan, roti, biskut dan air kosong dan itu juga juadahnya pada pagi 1 Syawal. “Sebaik membaca isi kandungan surat itu, hati saya hiba kerana Along minta wang untuk beli vitamin C dan makanan tambahan lain bagi menaikkan selera makannya yang semakin berkurangan. “Lebih membimbangkan saya, Along ada penyakit lelah selain dia memaklumkan berat badannya semakin susut disebabkan cuaca tidak menentu kini. “Disebabkan itu Along memohon saya mengirim RM400 setiap bulan untuk membeli makanan tambahan, termasuk ubat lelah,” katanya. Selain bapanya, Umi Azlim menghantar surat sama kepada dua ibu saudaranya di Johor dan Selangor bagi memohon bantuan kewangan disebabkan masalah dihadapi. Mohd Lazim berkata, dia tidak mampu memenuhi permintaan Umi Azlim berikutan masalah kewangan selain perlu menanggung empat lagi anak yang masih bersekolah.

“Dengan pendapatan sebagai mekanik, saya tidak mampu memenuhi permintaannya, apatah lagi perlu menanggung empat anak yang masih bersekolah, namun naluri bapa saya tidak sampai hati menolak permintaannya, saya kirimkan juga RM50 atau RM100 sebulan,” katanya.
Mengenai sambutan Aidilfitri kali ini, Mohd Lazim berkata, dia hanya membuat persiapan ala kadar kerana keluarganya masih bersedih mengenangkan ketiadaan Umi Azlim dan isteri, Umi Slaia Ibrahim, 47, yang meninggal dunia akibat barah leher Mei tahun lalu. Katanya, ketika isteri sakit, dia kerap menyebut nama Umi Azlim dan berhasrat menemuinya untuk kali terakhir, tetapi hasrat itu tidak kesampaian. Mohd Lazim berkata, Umi Azlim bersedih dengan kehilangan ibu tercinta yang juga orang paling rapat dengannya dan mahu menziarahi kubur ibunya sejurus menjejakkan kaki di tanah air.

“Sebelum ini arwah isteri dan Along orang paling sibuk menyediakan juadah raya seperti rendang, ketupat, mi soto, lontong dan kuih siput, namun semuanya tinggal kenangan,” katanya yang berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan supaya dia dapat melawat Umi Azlim di China.

Pengajaran : Setiap pekerjaan yang dilakukan perlulah berhati-hati dan usahlah terpengaruh dengan gaji lumayan. Menyesal kemudian tak berguna lagi.

No comments:

Related Posts with Thumbnails