23 November 2009

Kes Burung Murai

Diseksa kerana burung murai

Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my

PASIR MAS: “Tolonglah, jangan pukul saya lagi...sakit!,” rintih seorang remaja ketika ‘dilanyak’ tiga lelaki selepas dituduh mencuri dua burung Murai Cherang berharga RM1,000 dalam kejadian di sebuah kandang lembu di Kampung Endang, Jalan Dangar, dekat sini, Khamis lalu.

Remaja terbabit, Muhammad Naqiuddin Nazeri, 13, dari Kampung Pauh, dekat sini, mendakwa dibelasah bergilir-gilir oleh tiga lelaki berusia 18 hingga 30 tahun sehingga lebam di mata kanan serta sakit di bahagian belakang termasuk kepala. Lebih menyakitkan, kedua-dua tangannya turut dirotan berulang kali oleh seorang daripada lelaki terbabit menyebabkan Naqiuddin sukar menggerakkan semua jarinya. Difahamkan, walaupun Naqiuddin bersumpah dengan nama Allah tidak mencuri, dia yang bertubuh kecil itu terus dipukul oleh lelaki terbabit sehingga terpaksa merayu kerana terlalu sakit.

Sebelum kejadian, Naqiuddin keluar dari rumah, kira-kira jam 10 pagi, untuk bertemu seorang rakannya yang bekerja di kandang lembu berkenaan. Pelajar Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Satu (1) itu pergi menaiki basikal ke kandang lembu berkenan yang terletak 500 meter dari rumahnya.Sebaik tiba, Naqiuddin dicekup pemilik kandang lembu terbabit sebelum dituduh mencuri burung berkenaan yang hilang dipercayai dicuri pada waktu Maghrib, Isnin lalu.Terkejut dengan tuduhan itu, Naqiuddin mendakwa dia tidak pergi ke kandang berkenaan pada hari terbabit kerana hujan lebat.Tidak puas hati dengan jawapan diberikan, Naqiuddin dipukul sebelum dia dibawa ‘pulang’ ke rumah pemilik lembu di Kampung Pauh oleh lelaki terbabit bersama seorang lagi kawannya, kira-kira jam 2 petang.

Dia kemudian dibawa ke sebuah kedai burung di Wakaf Bharu, Tumpat, dengan alasan, mungkin Naqiuddin sudah menjual kedua-dua unggas terbabit. Sepanjang perjalanan kira-kira 30 kilometer itu, Naqiuddin yang duduk di sebelah pemandu terus dipukul, dirotan dan ‘dikerjakan’ rakan pemilik lembu terbabit menyebabkan dia terpaksa mengelak ‘serangan’ menggunakan tangannya. Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit malu apabila pemilik kedai memaklumkan dia tidak pernah melihat atau membeli burung itu daripada Naqiuddin menyebabkan mereka semakin bengang. Naqiuddin dibawa ke sebuah lagi kedai burung di Lemal, dekat sini, sebelum dipukul berulang kali dalam kenderaan. Namun jawapan sama diterima mereka menyebabkan dia dibawa pulang ke kandang lembu sebagai ‘tahanan’.

Akibat tidak ditahan dipukul dan diterajang, Naqiuddin cuba melarikan diri namun gagal apabila dia ditangkap semula menyebabkan kedua tangan serta kakinya diikat dengan tali lembu pada kerusi plastik. Kali ini, bukan dua orang saja yang membelasahnya, malah mereka turut dibantu seorang lagi lelaki menyebabkan penderitaan Naqiuddin semakin perit. Bagaimanapun, adegan itu berakhir kira-kira jam 6 petang iaitu kira-kira lapan jam menjadi ‘tahanan’ apabila ibu Naqiuddin, Zarina Hussin, 39, tergerak hati hendak pergi ke kandang terbabit bersama tiga lagi anaknya selepas mendapati anak lelaki tunggalnya belum pulang ke rumah. Menurut Zarina, sebaik tiba, anak keduanya, Nazratul Faten, 16, terus menjerit dan meraung kepada ketiga-tiga lelaki terbabit supaya berhenti daripada terus memukul adiknya. “Sambil berlinangan air mata, saya menerpa dan mendakap Naqiuddin yang sudah terkulai di kerusi. “Pada masa sama, saya memarahi mereka kerana menuduh Naqiuddin pencuri, padahal ketika kejadian (kecurian) berlaku, dia berada bersama saya di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Ayah Naqiuddin, Nazeri Che Ya, 44, pula tidak mampu berbuat apa-apa ketika kejadian berlaku kerana berada di rumah akibat menghidap penyakit kencing manis. Keluarga Naqiuddin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, kelmarin sebelum membawanya ke Hospital Pasir Mas untuk pemeriksaan kesihatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Haliludin Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Pengajaran : Tindakan sendiri umpama undang-undang rimba...jangan jadi orang lain makan nangka kita kena getah.

No comments:

Related Posts with Thumbnails