18 November 2009

Misteri batu bergerak di gurun Amerika Syarikat


GAMBAR menunjukkan sebongkah batu yang meninggalkan jejak laluannya di Taman Negara Death Valley, Amerika Syarikat.

LOS ANGELES - Beberapa batu besar ditemui saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) telah bergerak di padang pasir Taman Negara Death Valley, lapor sebuah akhbar semalam. Batu-batu itu yang ada mencecah sehingga 108 kilogram mencetuskan kebingungan di kalangan penyelidik kerana ia bergerak walaupun suhu panas setinggi 50 darjah Celsius. Mereka mendapati, batu-batu di gurun yang terkenal di California itu dipercayai mampu 'mengembara' sejauh 320 meter setahun dan meninggalkan jejak laluan. Saintis-saintis negara itu percaya, fenomena aneh tersebut disebabkan oleh keadaan cuaca spesifik yang datang bersama dengan tiupan angin kencang selaju 145 kilometer sejam.

Ia dipercayai berlaku akibat pembentukan ais pada waktu malam dan lapisan nipis tanah liat basah di permukaan gurun itu yang membantu menolak batu berat tersebut ke satu arah tertentu.Jurugambar Mike Byrne, 40, mengambil masa bertahun-tahun untuk merakamkan foto-foto misteri pergerakan batu berat itu yang disifatkan sebagai kejadian amat pelik.Dia berkata: "Beberapa batu itu mempunyai berat seperti seorang manusia.

"Adalah sesuatu yang amat ganjil untuk berimaginasi bahawa ia bergolek di gurun seperti ini.

"Batu itu bergolek di atas tanah dan saya tidak percaya terdapat seseorang yang melakukannya." - Agensi

Pengajaran : Allah maha kaya dan sukar ditaksirkan.

17 November 2009

Panik singa buka pintu kereta


SINGA membuka pintu kereta dengan mulut.


JOHANNESBURG - Sepasangan pelancong terkejut apabila mendapati seekor singa membuka pintu kereta dengan mulutnya dan nyaris membaham mereka, lapor sebuah akhbar semalam.Drama itu berlaku di Taman Safari Singa di sini baru-baru ini dan ia dirakamkan oleh seorang jurutera Britain, Richard Holden, 32, yang bercuti bersama isteri dan seorang anak mereka dengan menggunakan sebuah kamera.

Holden sempat merakamkan gambar tersebut kerana dia memandu kereta di belakang kenderaan pasangan berkenaan.Menurutnya, pintu belakang kereta yang dinaiki pelancong berkenaan tidak berkunci menyebabkan haiwan tersebut berjaya membukanya.

- Agensi

Pengajaran: Kita hendaklah sentiasa berhati-hati kerana malang tidak berbau.

08 November 2009

Pemain Kelantan Punca Rusuhan

Keganasan penyokong The Red Warriors


Bagaikan di medan perang apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dipenuhi asap gara-gara tindakan penyokong Kelantan yang membakar kerusi serta kain rentang semasa perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi.

PERLAWANAN akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi tercemar dengan insiden yang sangat memalukan.Penyokong Kelantan bagaikan hilang pertimbangan sehingga sanggup membakar harta awam seperti kerusi di tempat duduk stadium ketika perlawanan itu berlangsung.Tidak salah menyokong tetapi emosi perlu dikawal dan mereka sepatutnya mendisiplinkan diri selama 90 minit sambil menikmati perlawanan dengan penuh semangat.




Mercun pula satu hal. Entah di mana silapnya meskipun sudah banyak kali dinyatakan bahawa mercun adalah barang larangan, namun ia tetap berjaya dibawa masuk oleh para penyokong Kelantan ke dalam stadium.Final Piala Malaysia edisi ke-83 itu bertukar menjadi pesta mercun apabila pelbagai jenis mercun dibakar dan dilemparkan ke arah pemain.Balingan mercun tersebut serta letupan dan asapnya hanya kelihatan di kawasan penyokong-penyokong Kelantan.Tidak puas dengan membakar mercun, penyokong Kelantan yang kecewa mula mencabut beberapa kain rentang gergasi mereka dan bertindak membakarnya sebelum sempat dikawal oleh ahli bomba yang bertugas.Serentak dengan itu, dentuman mercun tidak henti-henti dan asap berkepul-kepul memasuki padang, terutama selepas Kelantan ketinggalan 3-0, sehingga mengganggu tumpuan pemain dan penonton terhadap perlawanan.

Kecewa dengan kekalahan pasukan mereka, penyokong Kelantan bertindak lebih dahsyat selepas itu apabila membakar kerusi stadium. Seorang jurukamera RTM cedera dibaling batu.




Sementara itu, seorang penyokong Kelantan ditahan polis malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 30- an itu ditahan pada pukul 12.05 tengah malam berhampiran stesen LRT Bukit Jalil oleh sepasukan polis kerana dipercayai cuba mencetuskan pergaduhan di dalam stadium.Lelaki itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, sejam kemudian lelaki terbabit dibebaskan selepas memberi keterangan kepada polis.Pada masa yang sama, sekumpulan penyokong Kelantan mencetuskan kekacauan apabila cuba menghalang penyokong pasukan Negeri Sembilan lawan daripada beredar pulang meninggalkan stadium.Namun sebaik sahaja anggota polis tiba, mereka berlari lintang-pukang meninggalkan kawasan itu.Pengajaran : Sukan boleh membawa bencana akibat dari pemain yang bermain sambil lewa dan hilang tumpuan. Gol-gol yang mudah amat mengecewakan penonton.

01 November 2009

Malang Tak Berbau

Pegawai imigresen terbunuh ambulans terbabas


KEADAAN ambulans yang terbabas lalu terbalik dan mengorbankan Mohamed Fitri Jamaludin yang berada di dalamnya ketika menemani rakannya ke hospital Jasin, Melaka, semalam.


MELAKA 31 Okt. – Kenderaan yang dinaiki rakannya terbabit dalam kemalangan. Niatnya untuk menolong rakan yang cedera itu dengan membawanya ke hospital menaiki ambulans.

Namun, nasib malang menimpa seorang pegawai imigresen, Mohamed Fitri Jamaludin apabila ambulans yang dinaikinya terbabas lalu terbalik dan meragut nyawanya.

Kejadian berlaku di Kilometer 25.6, Jalan Jasin-Bemban di sini kira-kira pukul 10.45 malam tadi.

Mohamed Fitri, 25, dari Taman Maju Jasin di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala selepas tercampak keluar dari ambulans tersebut.

Bagaimanapun, dua rakannya yang cedera dalam kemalangan sebelum itu serta pemandu ambulans terbabit terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik daerah Jasin, Cif Inspektor Mohd. Zaki Aftar berkata, sebelum kejadian, mangsa dan dua rakannya menaiki kereta berasingan menghala ke arah Jasin.

Bagaimanapun, menurutnya, kereta yang dipandu rakan mangsa, Mohd. Firdaus, 22, dan penumpang, Raja Mohamed Azuhan terbabas di Kilometer 15, Jalan Jasin-Bemban.

“Melihatkan kereta rakannya kemalangan, Mohamed Fitri memberhentikan kenderaannya dan mendapati dua rakannya itu mengalami kecederaan.

“Mangsa kemudian menaiki ambulans bagi menemani rakannya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Jasin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaki, apabila ambulans terbabit tiba di Kilometer 25.6, salah satu daripada tayar kenderaan itu pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan Mohamed Fitri tercampak keluar dari ambulans dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987.

Pengajaran : Ajal dan maut di tangan Tuhan..Alfatihah.

26 October 2009

Kambing kepala dua jadi tumpuan


GAMBAR menunjukkan kambing kepala dua di Lumajang, Indonesia.


LUMAJANG, Indonesia - Seekor anak kambing berkepala dua milik seorang penduduk di sini, Muhammad Hasyim yang berumur 25 tahun menjadi tumpuan orang ramai yang sanggup pergi ke rumahnya untuk melihat haiwan itu, lapor sebuah akhbar semalam.Kambing betina berwarna putih yang diberi nama Melati itu dilahirkan oleh ibunya kelmarin dan mempunyai empat mata dan dua telinga.Menurut Muhammad, semasa dilahirkan, ibu kambing itu berteriak dan meronta tanpa henti sehingga menyebabkan badannya kejang.Dia berkata, selain Melati, ibu kambing itu turut melahirkan seekor anak kambing jantan yang mempunyai tubuh normal.

"Alhamdulillah, kambing saya masih lagi hidup," kata Muhammad yang memberitahu bahawa dia memberi haiwan itu minuman susu segar.Menurutnya, kambing itu akan mengamuk jika ia diletakkan berjauhan dengan ibunya. - Agensi

Pengajaran : Allah maha berkuasa.....semoga kambing ini mendatangkan rezeki kepada tuannya.

22 October 2009

Sejadah Sembahyang...

Sejadah berdiri berlaku pula di Kedah, Pulau Pinang


ORANG RAMAI melihat sejadah berdiri di surau Sekolah Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.

KUALA LUMPUR - Kejadian sejadah berdiri terus berlaku semalam dan kali ini di Kedah dan Pulau Pinang selain kejadian sama berulang di Kelantan.

Di Alor Setar, tiga helai sejadah dilihat dalam keadaan bersembahyang berjemaah di ruang solat lelaki Surau Al-Rahmaniah, Kampung Teluk Yan.


TIGA sejadah berdiri di surau Tanah Liat, Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.


Kejadian itu disedari seorang kanak-kanak, Nur Zulaikha Rashid, 9, pada pukul 3.15 petang.

Imam surau, Mat Rotim Mat Hussain, 70, memberitahu, selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh penduduk, dia terus ke surau dan terkejut melihat sejadah berdiri.


TIGA helai sejadah berdiri di Surau Al-Rahmaniah ketika penduduk datang menunaikan solat Asar di Kampung Teluk Yan, Alor Setar semalam.


Katanya, dia meninggalkan surau selepas solat Zuhur pada pukul 2 petang dan tiada perkara pelik berlaku ketika itu.

Nur Zulaikha pula memberitahu, dia ternampak sejadah berdiri melalui tingkap surau ketika melintasi surau untuk pergi mengaji al-Quran di rumah seorang penduduk.

Di Bukit Mertajam pula, empat helai sejadah didakwa berada dalam keadaan sedang bersolat di surau Tanah Liat, Kampung Tanah Liat.


PENDUDUK melihat sejadah berdiri di dalam Madrasah Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang semalam.


Ia kejadian kedua selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Haji Mohamad Amin, Permatang Pauh bulan lalu.

Seorang saksi, Asni Ahmad, 49, memberitahu, kejadian itu disedari pada pukul 4.30 petang ketika dia bersama beberapa penduduk kampung masuk ke surau untuk menunaikan solat Asar.


KERATAN Kosmo! semalam.


Jelasnya, ketika pintu surau dibuka, mereka terkejut melihat empat helai sejadah berdiri berhampiran mimbar menghadap kiblat.

Di Kota Bharu, kejadian kelmarin berlaku lagi di Madrasah Kampung Gual Pasung Hantu, Rantau Panjang dan tiga lagi tempat iaitu Maahad Ar-Rahmah Kenali di Kubang Kerian dan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 2 serta Pejabat Yayasan Islam Kelantan (YIK) semalam.Dalam kejadian pukul 11.30 pagi, penduduk Kampung Gual Pasung Hantu gempar apabila sembilan helai sejadah dilihat seperti orang sedang solat berjemaah dalam keadaan duduk antara dua sujud.Kejadian tersebut disedari oleh seorang kanak-kanak, Mohd. Iqbal Ismail, 5, yang sedang bermain berhampiran surau itu.

Pengajaran : Kuasa ALLAh mengatasi kuasa manusia. semoga kita semua berada didalam rahmatNya.

14 October 2009

Kubur Yang Tetap Dikenang.

Indonesia isytihar 7 kampung jadi kubur


BEBERAPA pekerja semalam membina semula masjid yang rosak akibat gempa bumi di Padang yang berlaku pada 30 September lalu.


PADANG – Pihak berkuasa Indonesia semalam mengisytiharkan tujuh buah perkampungan yang lenyap ekoran gempa bumi pada bulan lalu sebagai tanah perkuburan besar.

Tindakan terbaru itu menyusul setelah pemerintah Indonesia menghentikan usaha menyelamat lebih 200 orang penduduk kampung terbabit yang dipercayai tertimbus hidup-hidup.

Keputusan tersebut dibuat selepas pihak berkuasa berbincang dengan penduduk tempatan, kata Ketua Polis Padang Pariaman, Uden Kusumawijaya kepada pemberita.

Perkampungan itu lenyap dalam kejadian tanah runtuh ekoran gempa bumi sekuat 7.6 pada skala Richter yang melanda wilayah Sumatera Barat pada 30 September lalu.

“Kita sudah mendapat persetujuan untuk menghentikan kerja-kerja mencari mangsa dan kawasan tanah runtuh itu dianggap sebagai kubur,” kata Uden.

Gempa bumi kuat itu meragut 809 nyawa penduduk di bandar Padang, menurut perangkaan rasmi tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan angka korban mencecah 1,100 orang. – AFP

Pengajaran : Kuasa ALLAH amatlah sukar dijangkakan. Semoga kita semua sentiasa berada dijalan yang diredhaiNya.

Related Posts with Thumbnails