26 February 2010

Manusia Kalahkan Buaya.


GAMBAR yang disiarkan akhbar Daily Telegraph menunjukkan Thurston (kiri) dan Willie berdepan dengan seekor buaya di dalam tangki di sebuah taman buaya di Darwin.

DARWIN - Dua pemain ragbi di Australia menewaskan seekor buaya gergasi selepas bergusti dengan reptilia itu, lapor sebuah akhbar semalam.Buaya seberat 1,000 kilogram bernama Burt itu menerkam Big Willie dan Johnathan Thurston yang merupakan kapten pasukan North Queensland Cowboys selepas mereka melompat ke dalam sebuah tangki kaca berisi air di Crocosaurus Cove iaitu sebuah taman buaya di sini pada Khamis lepas.Ibarat bertemu buku dengan ruas, buaya tersebut bukan sahaja gagal membaham dua mangsanya itu tetapi turut kehilangan sebatang giginya dalam pertarungan sengit tersebut.Kedua-dua pemain itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ia merupakan sebahagian acara sampingan sebelum perlawanan ujian pasukan itu dengan Gold Coast Titans hari ini. - Agensi

Pengajaran : Maut jangan dicari.Ajal jangan ditempah.

16 February 2010

Main Kucing Kena Air Panas.


Jiran simbah air panas
Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my
2010/02/16

GEMAS: Sungguh kejam apabila seorang lelaki tergamak menyimbah air panas terhadap seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang bermain dengan anak kucing peliharaannya, di Taman Pasir Besar, dekat sini, Sabtu lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 itu, mangsa, Mohd Saifudin Azahar, yang melecur pada bahu kiri dan paha kanannya dikejarkan ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan.Ketika kejadian, kanak-kanak malang itu dikatakan bermain seorang diri dengan seekor anak kucing peliharaan jirannya itu di belakang rumah lelaki terbabit.Tiba-tiba seorang lelaki berusia 39 tahun itu membuka pintu belakang rumahnya lalu memarahi kanak-kanak itu sebelum dia masuk semula ke dalam rumahnya.
Sejurus kemudian, lelaki itu sekali lagi muncul lalu menyimbah mangsa menggunakan air panas menyebabkan kanak-kanak itu meraung kesakitan.Jeritan kanak-kanak itu didengari kakaknya yang berusia sembilan tahun lalu bergegas mendapatkan adiknya yang dalam kesakitan.Terkejut dengan kejadian menimpa adiknya itu, kakak mangsa memanggil ibunya yang bekerja di sebuah kedai perabot tidak jauh dari rumahnya.Ibu mangsa, Normawati Mokhtar, 38, berkata dia bergegas balik ke rumah selepas dimaklumkan kejadian yang menimpa anaknya itu.
“Saya terus membawa Mohd Saifudin ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Tampin untuk rawatan susulan.
“Sebelum ini, lelaki terbabit pernah menyiram anak saya dengan air sejuk dan saya tidak sangka disebabkan seekor anak kucing, dia sanggup melakukan perbuatan ini,” katanya, semalam.Menurutnya, sebelum ini beliau menyangkakan jirannya itu hanya bergurau apabila menyiram anaknya itu dengan air sejuk.Katanya, disebabkan perbuatan melampau itu dia membuat laporan di Balai Polis Gemas. Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Mohd Isa Ujang ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu.Menurutnya, lelaki terbabit sudah ditahan di rumahnya malam kelmarin dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM), Daerah Tampin, Nasrudin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengarahkan seorang pegawai bahagian kanak-kanak untuk menjalankan siasatan.
Pengajaran : Buat baik berpada-pada...fikir dahulu pendapatan.

27 January 2010

Usaha Tangga Kejayaan.


Guru 100 tahun dapat ijazah
Ames
CONCORD, New Hampshire - Seorang bekas guru, Harriet Richardson Ames menerima ijazah sarjana muda pendidikan kira-kira tiga minggu selepas hari jadinya yang ke-100.
Seorang anak perempuannya berkata, ibunya meninggal dunia pada Sabtu lepas sehari setelah ijazah tersebut diletakkan di atas katilnya."Dia mempunyai impian dan dia tidak mati kempunan kerana impian terakhirnya telah tercapai," kata anak perempuan wanita itu, Marjorie Carpenter kelmarin.Ames yang berusia 100 tahun pada 2 Januari lalu memperoleh sijil perguruan pada 1931 di Sekolah Keene Normal kini Kolej Negeri Keene, Amerika Syarikat (AS).

Dia kemudian mengajar di sebuah sekolah satu bilik darjah di Newbury Selatan, timur laut AS sebelum berpindah ke Sekolah Memorial di Pittsfield.Sepanjang kerjayanya sebagai pendidik, Ames turut melakukan kerja-kerja kursus untuk melengkapkan jam kredit bagi memperoleh segulung ijazah tetapi dia berhenti separuh jalan apabila penglihatannya kabur setelah bersara pada 1971.Namun, impian wanita itu diketahui seorang profesor perfileman Kolej Negeri Keene yang menemu bualnya beberapa tahun lalu.Temu bual itu berkaitan sambutan 100 tahun kolej berkenaan yang disambut pada tahun lepas.Pihak pentadbiran kolej kemudian meneliti semula semua kursus yang diambil oleh Ames dan berpuas hati bahawa wanita itu layak diberikan ijazah tersebut.
- AP

21 January 2010

Pelajar Mesti Dengar Nasihat Guru.

Minum racun lepas ditegur guru
2010/01/22-harianmetro
BATU GAJAH: Hanya kerana ditegur guru sekolahnya supaya belajar lebih rajin dan tekun, seorang pelajar berusia 12 tahun bertindak nekad minum cecair dipercayai racun serangga di rumah bapa saudaranya di Taman Pusing Baru, dekat sini, kelmarin.S Uvaneswaran, 12, yang juga yatim piatu, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Batu Gajah kira-kira jam 6 petang, dipercayai selepas tiga jam meminum racun serangga itu.Ketua Polis Batu Gajah, Asisten Superintendan Najib Mohammad, berkata berdasarkan maklumat bapa saudara pelajar terbabit, mangsa kelihatan murung dan resah sebaik pulang dari sekolahnya kira-kira jam 1.30 petang.
“Apabila ditanya, mangsa memberitahunya dia mempunyai masalah di sekolah.
“Mangsa memasuki sebuah bilik yang dipercayai dijadikan stor di belakang rumahnya kira-kira jam 1.30 petang,” katanya. Bagaimanapun, Najib berkata, kira-kira jam 3.30 petang, mangsa keluar dari bilik berkenaan dalam keadaan muntah-muntah dan tidak bermaya.

Pengajaran : Guru ibarat lilin. Pelajar sepatutnya mendengar nasihat guru untuk kebaikan diri sendiri. Untuk berjaya setiap pelajar perlu mentaati gurunya.

Gambar Hantu Kanak-kanak

Wanita Rakam Hantu Kubur
GAMBAR rakaman English yang disiarkan di beberapa blog dan akhbar Daily Telegraph semalam menunjukkan dua imej kanak-kanak (dalam bulatan) sedang berjalan di tanah
perkuburan St. Mark, selatan Sydney. klik gambar untuk saiz besar.

SYDNEY - Seorang wanita, Renee English merakamkan gambar yang menunjukkan dua imej kanak-kanak sedang berjalan di sebuah tanah perkuburan St. Mark di selatan Sydney, Australia, lapor akhbar Daily Telegraph semalam.Semasa dia merakamkan gambar itu, tiada kanak-kanak yang melintasi tanah perkuburan tersebut.Imej itu kini menjadi perdebatan hangat sama ada mereka ialah kanak-kanak yang meninggal dunia 60 tahun lalu.Menurut legenda tempatan, dua kanak-kanak itu ialah David Shaw dan Blanche Moon.

Mereka meninggal dunia pada 1886 selepas tergelincir dan ditimpa timbunan kayu.Menurut English, dia yakin semasa sedang merakamkan gambar di tanah perkuburan itu, tidak ada orang yang berada di kawasan tersebut."Apabila memuat naik gambar kami (dia dan keluarganya), melihat kanak-kanak itu. Semua bulu roma saya kemudian berdiri dan saya berasa seram sejuk."Saya tidak dapat tidur dan saya tidak akan melihat filem seram lagi," katanya.
Gambar itu kini menjadi perbincangan hangat di beberapa laman blog mengenai hantu di Internet.

Pengajaran: Setiap makluk adalah ciptaan ALLAH. Jangan kita takut kepada hantu atau syaitan kerana akan menganggu pemikiran kita.

18 January 2010

Topi Mesti Pakai

KA SIONG (tengah) bersama Suret Singh (kiri) dan Kay memakaikan topi keledar kepada tiga orang murid di Gelang Patah, Johor Bahru semalam.

Hukuman buang sekolah kalau tidak pakai topi keledar
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
nanhidayat.nanazmie@kosmo.com.my

KA SIONG (tengah) bersama Suret Singh (kiri) dan Kay memakaikan topi keledar kepada tiga orang murid di Gelang Patah, Johor Bahru semalam.JOHOR BAHRU - Mana-mana pelajar sekolah yang 'besar kepala' dengan tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal ke sekolah mungkin berhadapan tindakan gantung atau buang sekolah selepas ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya akan mempertimbangkan cadangan tersebut jika pelajar terbabit masih tidak berubah meskipun beberapa kali diberikan kaunseling termasuk memanggil ibu bapa pelajar terbabit ke sekolah."Pemakaian topi keledar amat penting kerana berdasarkan statistik baru-baru ini, 2,000 daripada 6,000 kemalangan maut adalah melibatkan penunggang motosikal.

"Sekiranya pelajar enggan memakai topi keledar, tidak kira di kawasan pedalaman atau bandar, pihak kementerian tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan peraturan itu jika pelajar masih tidak berubah meskipun ibu bapa telah dipanggil dan diberikan kaunseling berkali-kali," katanya.

Pengajaran : Utama keselamatan dan ikhtiar. Malang tidak berbau.

13 January 2010

Jenayah Culik Budak Sekolah.



Terjun kereta penculik
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BAHAU: Tindakan nekad seorang murid tahun tiga terjun daripada kereta penjenayah mengelak dirinya daripada menjadi mangsa culik di Kampung Serting Ulu, Batu Kikir, dekat sini, kelmarin.Mangsa membuka pintu kereta ketika penjenayah solo itu pergi ke tempat duduk pemandu untuk melarikannya.Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad, berkata sebelum kejadian mangsa dan kakaknya berusia 12 tahun dalam perjalanan pulang selepas ke kedai tidak jauh daripada rumahnya."Ketika berjalan, sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berhenti tidak jauh daripada dua beradik itu.
"Tiba-tiba pemandu kereta itu keluar dan meluru ke arah murid berkenaan dan menolaknya masuk ke tempat duduk penumpang depan," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas menolak mangsa masuk dalam kereta, suspek bergegas ke tempat duduk pemandu untuk memandu kereta terbabit.Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan perbuatan suspek terus membuka pintu kereta dan berlari keluar menuju rumahnya tidak jauh dari situ."Melihat mangsa memboloskan diri, penjenayah terbabit melarikan diri dengan memecut keretanya dari tempat kejadian. Mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian itu sejurus kemudian.

"Berdasarkan keterangannya, mangsa memberitahu tidak dapat mengecam suspek terbabit kerana kejadian berlaku pantas," katanya.Mohd Sabri berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian terbabit dan melancarkan gerakan memburu lelaki terbabit yang dipercayai melakukan perbuatan itu seorang diri."Kami meminta saksi kejadian supaya tampil memberi maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di 06-4541222 atau balai polis berhampiran," katanya.

Pengajaran : Kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan mendengar nasihat ibubapa.
Related Posts with Thumbnails