31 July 2009

Amalina Di Lelong.

Amelina berang barang disita

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my



SHAH ALAM: Operasi mengeluarkan barang peribadi milik bekas ratu dangdut, Amelina dari rumah sewanya di Kota Kemuning di sini semalam kecoh seketika apabila penyanyi itu mempersoalkan tindakan pemilik rumah sambil mendakwa perbuatan itu tidak berperikemanusiaan serta cuba menjatuhkan maruahnya.

Amelina atau nama sebenarnya, Norazlina Amir Sharipuddin, 35, berkata pertikaian mengenai masalah sewa banglo berkenaan sepatutnya selesai kerana dia sudah menjelaskan semua pembayaran dan berhasrat memindahkan kes itu dari mahkamah rendah ke mahkamah tinggi.

Dia yang ditemani suami, Reduan Mahamood, mendakwa sudah membayar bailif lebih RM4,000 dan diberitahu peguamnya selepas pembayaran itu, tindakan melelong barangnya di banglo berkenaan tertangguh sehingga mereka membuat tuntutan pada 5 Ogos ini.

“Tapi, selepas saya buat pembayaran pada 17 Julai, timbul cerita lain...kononnya itu untuk bayaran lain.

“Pemilik rumah sengaja nak malukan kami, ini perbuatan zalim kerana kami ada writ menghalang tindakan ini,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, pasangan itu gagal menunjukkan bukti kewujudan writ berkenaan selepas diminta Bailif Mahkamah Majistret, Noor Azmi Taupek, yang hadir bagi memastikan pelaksanaan perintah untuk pecah masuk dan menjual barang yang disita serta mengambil alih semula banglo berkembar dua tingkat itu.

Amelina mendakwa, kira-kira jam 3 petang pada 28 Julai lalu, dia ke rumah berkenaan dengan membawa bersama sebuah lori untuk mengambil semua barangnya.

“Tapi apabila sampai, kami lihat rumah itu dikunci dan mangga dulu dipecah sebelum mereka masuk.

“Jadi atas nasihat peguam, kami rantai (rumah) dan peristiwa itu kami rakam,” katanya yang mempersoalkan tindakan penyewa terbabit.

Ditanya punca sebenar masalah itu, Amelina berkata, dia menyewa banglo berkenaan RM2,700 sebulan dan sempat tinggal di situ dua bulan.

Katanya, pada bulan pertama tinggal di situ, pelbagai masalah timbul termasuk kebocoran dan apabila diadukan, pemilik rumah langsung tidak memberikan reaksi.

“Selepas itu, berlaku lagi masalah selepas kami terima bil elektrik melalui pos. Bilnya hampir RM1,000 dan kami mengadu kepada TNB (Tenaga Nasional Berhad) sebelum mereka buat siasatan.

“Lepas siasatan dibuat, pihak TNB beritahu meter elektrik tidak ada masalah dan apa yang berlaku ialah disebabkan ada ‘kebocoran elektrik’ yang dilakukan pemilik rumah,” katanya mendakwa pemilik asal turut mengambil balik wang deposit kepada TNB sebelum bekalan elektrik ke rumah itu dipotong walaupun ketika itu dia masih menyewa rumah berkenaan.

Amelina berkata, dia menyewa banglo terbabit dua bulan iaitu pada April dan Mei lalu.

Penyanyi itu mendakwa, tindakan penyewa mengeluarkan semua barang miliknya semalam bertujuan memalukan keluarganya.

“Saya dah bagi kerjasama. Pada 28 Julai lalu saya datang, tapi berkunci...sekarang macam mana dan nak salahkan siapa?

“Jadi saya harap mereka yang berwajib tu buka mata. Setiap kali kami minta keadilan, ia seolah-olah tidak berpihak kepada kami dan sekarang jadi macam ni,” katanya.

Pengajaran : Buat baik berpada-pada....nak seribu daya. Jangan buat macam harta kita sebab kita menyewa. Masuk baik keluar pun mau baik maa.

30 July 2009

Peguam Mati

Peguam mati dipaksa minum cecair pencuci

BUTTERWORTH - Seorang peguam maut setelah dipercayai dipaksa minum cecair pencuci oleh empat lelaki yang tidak dikenali, tengah malam, kelmarin.

Mangsa, R Thinakaran, 37, dipaksa berbuat demikian ketika berada di dalam kenderaannya oleh empat lelaki Isnin lalu di Taman Supreme, Prai, dekat sini.

Mangsa kemudian ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk menerima rawatan tetapi gagal diselamatkan.

Menurut laporan bedah siasat yang dikeluarkan Hospital Seberang Jaya, mangsa disahkan meninggal dunia akibat terminum cecair pencuci.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali memaklumkan, ketika diserang empat lelaki terbabit, mangsa dalam perjalanan pulang dari sebuah kuil di Jalan Baru, Prai pagi Isnin dan didatangi empat lelaki yang tidak dikenali yang memaksanya meminum cecair itu sebelum melarikan diri.

Thinakaran juga telah memandu dengan sendiri ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

Dia bagaimanapun sempat memberi kenyataan kepada pihak polis sebelum menghembuskan nafas terakhir malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Dr Mohamad Shah Hussin Shah ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pengajaran : Berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk kita mungkin kita menyakiti hati orang lain.

25 July 2009

Terlalu Mahir

Bahan lucah dalam e-Book


SEORANG guru, Azman Yahaya (tengah) memberi penerangan mengenai buku elektronik atau e-Book kepada murid-murid pada majlis penyerahan komputer itu di Kemaman bulan lalu.



AHMAD SAID melihat seorang murid menggunakan e-Book pada majlis penyerahan komputer itu di Kuala Terengganu bulan lalu.





KUALA TERENGGANU - Sekumpulan murid Tahun Lima sebuah sekolah di Terengganu membuktikan mereka telah 'celik IT' apabila menggunakan komputer mini atau e-Book yang diedarkan oleh kerajaan negeri untuk menyimpan dan menonton bahan lucah.

Setakat ini 12 murid dari sebuah sekolah kebangsaan di Gong Badak telah dikesan menyalahgunakan komputer tersebut yang pada asalnya bertujuan menjadi pengganti kepada buku teks sekolah.

Ada di antara murid itu cuba mengelak daripada dikenakan tindakan dengan mendakwa ia perbuatan abang mereka.

Namun, kesannya bukan sahaja komputer itu dirampas tetapi lebih teruk mereka berhadapan dengan kemungkinan dibuang sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman mengesahkan perkara itu dengan berkata, e-Book milik kesemua murid itu telah dirampas hasil pemeriksaan mengejut guru sekolah berkenaan baru-baru ini.

"Ini masalah yang serius kerana perbuatan membawa bahan lucah ke sekolah boleh mengakibatkan murid-murid itu dibuang sekolah,'' katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Pengajaran : Hargailah sesuatu pemberian dengan penggunaan yang memberi munafaat.

24 July 2009

Membua Asingment Yang Pelik.

Pelajar bunuh 2 wanita untuk kajian

MOSCOW - Seorang pelajar perubatan yang identitinya dikenali sebagai Tatyana di Novosibirsk, Rusia membunuh dua wanita tua dengan tujuan untuk mempelajari proses kematian, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut polis, wanita yang berumur 24 tahun itu mengaku melakukan perbuatan tersebut.

Dia menggunakan sebilah kapak dan memerhatikan dengan teliti detik-detik terakhir wanita itu meninggal dunia.

Mangsa pertamanya ialah seorang jirannya iaitu Olga Stepushenko yang berumur 85 tahun.

"Saya mengambil sebilah kapak dan menetak di kepalanya beberapa kali. Apabila dia rebah, saya duduk di sebelahnya dan menunggu sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir," kata Tatyana.

Empat hari selepas membunuh wanita itu, dia membunuh seorang jiran Stepushenko iaitu Zoya Karpova juga dengan menggunakan kapak.

Dia kemudian mengkaji proses pereputan mayat kedua-dua wanita itu.

Tatyana ditangkap oleh polis selepas jiran-jirannya memberitahu dia pernah menemui kedua-dua mangsa. - Agensi


Pengajaran : Kita sebagai manusia perlulah menggunakan kewarasan otak agar dapat berfikir secara logik.

04 July 2009

Motor Lekat Di Kren.

Mati atas motosikal


KEADAAN Sin Kean (gambar kecil) yang mati terperosok atas motosikal di Lebuh Raya BORR di Butterworth kelmarin.

BUTTERWORTH - Seorang remaja maut dalam keadaan terperosok di atas motosikal yang ditungganginya selepas ia merempuh sebuah kren di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) berhampiran Plaza Tol Bagan di sini malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Zulkifli Alias berkata, dalam kemalangan pada pukul 11.30 malam itu, Lau Sin Kean, 17, seorang mekanik dalam perjalanan dari Bagan menuju ke bandar ini.

"Tiba di tempat kejadian, motosikal Sin Kean merempuh belakang kren yang menjalankan kerja-kerja membaiki lampu jalan," kata beliau semasa dihubungi semalam.


ORANG ramai membantu mengalihkan mayat Sin Kean yang mati selepas motosikalnya terlanggar belakang kren.

Menurut beliau, mangsa semasa kejadian dipercayai menunggang motosikal dengan laju sehingga motosikalnya melekat pada belakang kren itu.

Pengajarannya: Malang tidak berbau...berhati-hati dijalanraya dan patuhi undang-undang jalanraya.


18 June 2009

Artis tatu disaman






BRUSSELS: Seorang remaja belasan tahun menyaman seorang pelukis tatu sebanyak RM57,000 selepas mendakwa kehidupannya musnah akibat kesilapan pelukis itu.

Kimberley Vlaminck, 18, berkata, dia minta pelukis itu membuat tiga tatu bintang pada mukanya tetapi berakhir dengan 56.

Kimberley membayar RM315 untuk tatu itu di Courtrai, Belgium.

Dia mendakwa, pelukis berkenaan, warga Romania, tidak memahami bahasa Perancis dan Inggeris yang dituturnya.

Dia juga mendakwa tertidur ketika proses melukis itu dan terkejut melihat wajahnya penuh dengan bintang apabila terjaga.

Bagaimanapun, pelukis itu, Rouslan Toumaniantz yang penuh dengan tatu dari kepala hingga ke kaki dan bertindik berkata, dia sedia membantu membayar rawatan untuk membuang tatu itu.

“Dia bersetuju saya lukiskan 56 tatu pada sebelah kiri mukanya,” kata Toumaniantz kepada akhbar La Derniere Heure.

“Seorang saksi yang hadir ketika itu sudah disoalsiasat oleh polis dan mengesahkannya.

“Tetapi kerana saya tidak suka pelanggan saya tidak puas hati, saya sanggup membayar separuh perbelanjaan rawatan membuang tatu itu,” katanya.

Menurut Toumaniantz, ada cara untuk membuang tatu berkenaan dengan mengguna laser.

Dia mendakwa Kimberley gembira dengan hasil tatu itu ketika meninggalkan kedainya tetapi berubah fikiran apabila bapanya melihat mukanya.

“Tetapi saya tidak menyesal kerana ia sedikit sebanyak memberi publisiti kepada saya,” kata Toumaniantz.

Sementara itu, Kimberley berkata, dia begitu malu dan takut untuk keluar rumah.

“Saya kelihatan begitu teruk. Dia tidak faham apa yang saya cakap,” katanya.

Bagaimanapun, Toumaniantz berkata, Kimberley tidak tidur ketika dia melukis tatu itu dan dia faham apa yang diinginkan gadis itu.

“Dia melihat cermin berulang kali ketika prosedur itu untuk melihat perkembangannya.

“Masalah bermula apabila dia pulang ke rumah dan dimarahi bapa dan teman lelakinya,” kata pelukis itu. — Agensi.

Pengajaran : Berfikirlah sebelum melakukan sesuatu....agar tiada penyesalan.

25 January 2009

SATU KAJIAN TENTANG MAT REMPT


Mat rempit kepala angin


Kajian UKM mendapati pelumba motosikal haram antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara . Suatu yang pelik dan agak mustahil, tetapi bagi sesetengah pelumba motosikal haram atau mat rempit, itu perkara biasa bahkan menjadi kebanggaan kerana ia melambangkan kehebatan sesama mereka. Tindakan liar dan tidak bermoral itu adalah antara pengakuan mat rempit dan minah rempit berdasarkan kajian terbaru yang dijalankan Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rozimi Ismail.
Kajian akademik pertama mengenai isu mat rempit itu juga mendedahkan peningkatan pembabitan remaja Melayu yang mencapai 95 peratus daripada keseluruhan mat rempit seluruh negara, berbanding kajian kali pertama pada 2002 yang merekodkan 80 peratus. Dr Rozimi menjalankan kajian mengikut geran penyelidikan UKM secara berperingkat selama enam tahun bermula 2002 hingga 2006 membabitkan tiga tajuk kajian Kajian pertama bertajuk ‘Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (2000 hingga 2002) diikuti kajian kedua bertajuk ‘Faktor Pembabitan Mat Rempit (2003-2004). Seterusnya, kajian terbaru berjudul ‘Pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah’ lebih kepada melihat tahap serta jenis jenayah berpunca daripada golongan berkenaan.
Operasi membanteras kegiatan lumba haram.
Hasil kajian mendapati, 97 peratus daripada mereka disifatkan sebagai ‘kepala angin’ atau sanggup melakukan apa saja untuk mencari keseronokan manakala bakinya kira-kira tiga peratus digelar sebagai mat motor iaitu individu yang benar-benar sukakan motosikal. Kebanyakan mat motor ini pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lebih kepada mencari keseronokan ketika masa lapang atau melepaskan tekanan menjelang peperiksaan. “Ramai antara mat rempit yang mengaku terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ini membuktikan golongan itu menjadi antara penyumbang besar kepada indeks jenayah negara. “Kira-kira 24 peratus daripada mereka mengaku pernah terbabit dalam jenayah, misalnya pecah rumah, curi motosikal, kumpulan samseng, vandalisme dan seks bebas.
“Mereka terlalu muda dan masih belum terlewat untuk membantu golongan ini kembali ke pangkal jalan. Kebanyakan mereka berusia antara 14 hingga 25 tahun dan majoritinya berusia lingkungan 21 ke atas,” katanya. Usia terlalu muda juga menyebabkan mereka mudah taksub kepada ketua kumpulan terdiri daripada mat rempit senior. Ada antara mereka digelar ‘sifu, abang pendek, abang pendek’. Tidak menghairankan jika dikaji latar belakang mat rempit, ia menjurus kepada golongan yang datangnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Logiknya mereka juga mempunyai tahap pendidikan agak rendah dan ada antaranya tercicir daripada pengajian sekolah. Apa yang mereka tahu ialah mencari hiburan tetapi dengan cara tersendiri yang jelas membahayakan nyawa sendiri bahkan boleh menjadi igauan ngeri kepada pengguna jalan raya lain.
Kebanyakan mereka penganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap, pekerja kilang (bahagian am), mat despatch (penghantar surat), penjual burger jalanan, pembantu bengkel kenderaan dan pelajar (sekolah dan IPT). Kajian yang dijalankan dengan kerjasama cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mendapati, 85 peratus daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu atau tamat tempoh sah.
Kebanyakan mereka juga sering menggunakan motosikal milik ibu bapa, abang, kawan, syarikat untuk berlumba. Agak menarik, mat rempit mempunyai sikap setia kawan yang cukup tinggi dan sering mengutamakan kumpulan. Contoh paling mudah ialah jika berlaku kemalangan sama ada ketika operasi atau berlumba, mereka akan melarikan rakan mereka dan motosikal secepat mungkin sebelum dicekup polis.
INFO: Mat Rempit

76 peratus pernah ditahan polis sekurang-kurangnya sekali atau kesalahan sama atau jenayah.
24 peratus daripada mereka akan mat rempit baru (ikutan).
11 peratus daripada mereka adalah pelajar termasuk Institut Pengajian Tinggi (IPT). Kajian:
pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah (560 responden)
Faktor Pembabitan Mat Rempit (100 responden)
Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (108 responden) Kawasan kajian:
Zon Utara (Kedah dan Pulau Pinang)
Zon Tengah (Kuala Lumpur dan Perak)
Zon Pantai Timur (Terengganu dan Kelantan)
Zon Selatan (Johor).
Atara geng mat rempit:

Apache (Kuala Lumpur)
Budak Shell (Kuala Lumpur)
Man Botak (Pantai Timur)
Man Kerinting (Pantai Timur)
Skuter Boys (Sungai Besi, Kuala Lumpur)
Jenis motosikal paling popular digunakan mat rempit:

Yamaha RXZ
Honda EX5
Yamaha Nuovo
Suzuki 100
Modenas Kriss
Cadangan:
1) Mewujudkan tempat aktiviti sesuai untuk mereka seperti litar lumba secara percuma.
2) Menghantar mat rempit menyertai aktiviti atau program yang mampu mengubah tingkah laku mereka dan wujudkan sikap saling menghargai.
Pengajaran : Hargailah masa depan kita dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah dan pandai menjaga nama baik keluarga.
Related Posts with Thumbnails