25 August 2009

Sitanggang Bulan Puasa...Masyaallah.

Belasah ibu
Oleh Zarina Abdullah
am@hmetro.com.my

KUALA BERANG: Berang selepas isterinya dituduh mencuri dua gelang emas, seorang lelaki sanggup menderhaka kepada emak kandungnya sendiri apabila tergamak membelasah warga emas itu hingga patah tangan kanan dan bengkak seluruh badan.

Pada mulanya, suri rumah malang berusia 62 tahun itu memanggil menantunya selepas mendapati dua gelang emas yang disimpan dalam sebuah beg di ruang tamu rumahnya hilang pada 15 Ogos lalu.

Dia bertanyakan menantunya yang berusia 20-an itu sama ada ternampak gelang yang disimpan dalam beg, tetapi isteri anak lelakinya itu menafikan pernah melihatnya.

Mangsa yang resah dengan kehilangan itu kemudian bertanyakan hal sama kepada anak lelakinya, tetapi dia kerap kali mengelak apabila diajukan pertanyaan mengenai barang kemas berkenaan.

Bagaimanapun, pada jam 6 petang Selasa lalu, anak lelaki wanita itu yang tinggal kira-kira 100 meter dari rumahnya, datang berjumpa ibunya yang sedang mengikat sayuran seorang diri di depan rumah di Kampung Tengkawang, dekat sini.

Lelaki itu terus menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ibunya yang didakwa menuduh isterinya mencuri dua gelang emas yang hilang.

Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka menyebabkan si ibu menuduh anaknya mencuri barang kemas itu dan bukan menantunya kerana perkara sama pernah berlaku di rumah itu sebelum ini.

Berang dengan tuduhan ibunya, lelaki itu mencapai sebuah basikal di halaman rumah berkenaan dan melontarnya ke dinding rumah sebelum menghilangkan diri.

Dia muncul semula 10 minit kemudian dengan membawa sebatang kayu dan terus menyerang ibunya dengan membelasah badan dan tangan kanan mangsa sebelum meninggalkan warga emas berkenaan kesakitan di halaman rumahnya.

Mangsa yang bengkak badan dan cedera di lengan kanan kemudian menemui seorang tukang urut untuk mengurut sebelum diberitahu lengannya patah berikutan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah, berkata berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang di sini, Sabtu lalu.

Mangsa dihantar untuk rawatan di Hospital Hulu Terengganu, disahkan patah tangan kanan berikutan kejadian itu.

Tengku Hamzah berkata, polis sedang memburu anak lelaki mangsa dan isterinya, masing-masing berusia 20-an yang menghilangkan diri selepas kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Pengajaran : Sepatutnya di bulan yang mulia ini kita banyakkan sedekah dan amal ibadat bukan melakukan sesuatu yang tidak wajar....inilah sitanggang.

05 August 2009

Malaysia Semakin Terancam Selsema BABI

12 mati akibat H1N1, terkini di Johor
Ogos 5, 09 2:43pm


Seorang lagi kanak-kanak, berusia 6 tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka.

Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka.

Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Kematian-kematian lain:

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas.

Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat.

Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu.

Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

Pengajaran : Kita hendaklah berhati-hati dalam setiap gerak-geri kita.


Related Posts with Thumbnails