18 June 2009

Artis tatu disaman






BRUSSELS: Seorang remaja belasan tahun menyaman seorang pelukis tatu sebanyak RM57,000 selepas mendakwa kehidupannya musnah akibat kesilapan pelukis itu.

Kimberley Vlaminck, 18, berkata, dia minta pelukis itu membuat tiga tatu bintang pada mukanya tetapi berakhir dengan 56.

Kimberley membayar RM315 untuk tatu itu di Courtrai, Belgium.

Dia mendakwa, pelukis berkenaan, warga Romania, tidak memahami bahasa Perancis dan Inggeris yang dituturnya.

Dia juga mendakwa tertidur ketika proses melukis itu dan terkejut melihat wajahnya penuh dengan bintang apabila terjaga.

Bagaimanapun, pelukis itu, Rouslan Toumaniantz yang penuh dengan tatu dari kepala hingga ke kaki dan bertindik berkata, dia sedia membantu membayar rawatan untuk membuang tatu itu.

“Dia bersetuju saya lukiskan 56 tatu pada sebelah kiri mukanya,” kata Toumaniantz kepada akhbar La Derniere Heure.

“Seorang saksi yang hadir ketika itu sudah disoalsiasat oleh polis dan mengesahkannya.

“Tetapi kerana saya tidak suka pelanggan saya tidak puas hati, saya sanggup membayar separuh perbelanjaan rawatan membuang tatu itu,” katanya.

Menurut Toumaniantz, ada cara untuk membuang tatu berkenaan dengan mengguna laser.

Dia mendakwa Kimberley gembira dengan hasil tatu itu ketika meninggalkan kedainya tetapi berubah fikiran apabila bapanya melihat mukanya.

“Tetapi saya tidak menyesal kerana ia sedikit sebanyak memberi publisiti kepada saya,” kata Toumaniantz.

Sementara itu, Kimberley berkata, dia begitu malu dan takut untuk keluar rumah.

“Saya kelihatan begitu teruk. Dia tidak faham apa yang saya cakap,” katanya.

Bagaimanapun, Toumaniantz berkata, Kimberley tidak tidur ketika dia melukis tatu itu dan dia faham apa yang diinginkan gadis itu.

“Dia melihat cermin berulang kali ketika prosedur itu untuk melihat perkembangannya.

“Masalah bermula apabila dia pulang ke rumah dan dimarahi bapa dan teman lelakinya,” kata pelukis itu. — Agensi.

Pengajaran : Berfikirlah sebelum melakukan sesuatu....agar tiada penyesalan.

Related Posts with Thumbnails